Di kalangan adik beradik, saya boleh dikatakan antara yang berkahwin ketika usia muda, iaitu ketika berusia 22 tahun. Tapi kakak saya lagi muda, 21 tahun (“,). Mungkin bagi sesetengah orang, 22 tahun bukanlah usia muda untuk berumah tangga, kerana ramai yang berkahwin ketika usia lagi muda daripada itu, malah ada yang berkahwin ketika usia baru mencapai 20 tahun. Itu tidak menjadi masalah sekiranya fikiran sudah matang dan diri sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai seorang isteri.
Belum Tamat Pengajian
Ketika saya berkahwin, saya masih lagi menuntut di universiti dalam semester enam (semester akhir pengajian diploma). Tapi disebabkan saya hanya mempunyai satu paper, maka saya mengikut suami saya yang bekerja di Kuala Lumpur untuk tinggal di sana. Setiap hujung minggu, kami akan pulang ke Kelantan kerana saya perlu menghadiri lecture. Ketika itu, kami banyak menghabiskan duit untuk membeli tiket. Alangkah leganya kami setelah saya tamat pengajian. Kami boleh menjimatkan duit dan membelanjakannya ke atas benda yang lebih penting.
Susah Senang Bersama
Semasa kami berkahwin, suami saya baru sahaja memulakan pekerjaannya di sebuah syarikat swasta selama 3 bulan kerana dia baru sahaja graduate. Jadi, simpanannya tak banyak dan gajinya ketika itu tidak membolehkan kami untuk menyewa sendiri. Kami menumpang di rumah nenek suami saya di Gombak. Tapi, dia jarang berada di rumah kerana selalu tinggal di rumah anak-anaknya. Hidup kami ketika itu agak susah, tapi saya bersyukur kerana kami dapat menghadapinya bersama.
Low Cost ‘Honey Moon’
Selalunya pasangan yang baru berkahwin akan pergi berbulan madu untuk lebih mengenali antara satu sama lain. Kebiasaannya tempat yang menjadi pilihan adalah tempat-tempat percutian yang menarik. Tapi memandangkan kami tidak mampu untuk berbuat demikian, maka kami hanya berbulan madu di Taman Tasik Titiwangsa. Walaupun bunyinya tak menarik, tapi bagi kami, asalkan dapat berjalan berdua di waktu malam, disimbahi cahaya bulan, dihidangkan dua biji roti Gardenia, sesikat pisang berangan berserta dua kotak air (“,), itu sudah memadai, sudah cukup romantik. Yang penting, kami mempunyai antara satu sama lain.
Tanggung Jawab
Walaupun sudah berusia 22 tahun, tapi saya masih lagi bersikap kebudak-budakan. Bila sudah bergelar isteri, banyak yang perlu saya pelajari dan banyak tanggung jawab yang perlu saya pikul. Alhamdulillah suami saya banyak membantu mengajar saya apa yang perlu dilakukan untuk memastikan rumah tangga kami aman dan damai. Apa yang penting, kami banyak bertoleransi dan berbincang tentang kekurangan masing-masing. Alhamdulillah, dengan memahami tanggung jawab masing-masing dan saling membantu serta bertoleransi antara satu sama lain, hubungan kami suami isteri dapat dikukuhkan dan berkekalan sehingga sekarang.
Wassalam..
Najdah Mohammed Hussain
Jun 9, 2008
9:10am
No comments:
Post a Comment