Thursday, February 4, 2016

Sabar Dalam Membesarkan Anak-Anak

Bila dah jadi seorang IBU, baru saya faham betapa penatnya mama saya dulu membesarkan kami lima beradik... dan betapa lembutnya hati mama meskipun luarannya nampak garang dan tegas...

Mula-mula dapat anak dulu, saya belum garang. Dapat anak ke dua, ke tiga, masih sama, meskipun anak-anak kami sangat-sangat aktif... sentiasa menguji tahap kesabaran...

Mula Garang

Bila dapat anak ke empat, saya masih lagi mampu bertahan... tapi setelah anak ke empat makin membesar, saya mulai bersikap garang kerana anak ke tiga sangat-sangat jealous dengan anak ke empat... selalu jer usik adik dia... tapi walaupun begitu, rumah kami tetap tidak ada walau sebatang pun rotan kerana bagi kami, usia anak-anak begitu muda belum sesuai untuk dididik dengan rotan.

Kami hanya mula menyimpan rotan di rumah setelah anak-anak makin membesar, usia yang sudah boleh kenal mana baik, mana tak baik dan apa akibat melakukan perbuatan tak baik. Itupun kebanyakan masa, pintu bilik dan meja makan yang selalu menjadi 'mangsa' rotan. Jarang sekali anak-anak yang dirotan. Mereka hanya akan dirotan setelah melakukan kesalahan yang sama walaupun sebelumnya telah diberi peringatan untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Sabar Dalam Membesarkan Anak

Dalam membesarkan anak-anak, memang memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi. Apatah lagi bila semua kerja-kerja menguruskan rumah dan anak-anak terletak atas bahu saya semata, dari mula kahwin hinggalah sekarang (anak tujuh orang nak masuk lapan insyaAllah). Dan dalam masa yang sama, saya juga aktif menjalankan bisnes bersama suami secara sepenuh masa dari rumah.

Secara jujurnya, saya akui memang agak sukar untuk bersabar apatah lagi dalam keadaan   sekarang ni yang tengah sarat. Emosi dalam keadaan tak stabil menyebabkan saya mudah berasa sedih, mudah berasa marah, malah mudah terasa hati berbanding biasa. Lebih-lebih lagi bila saya dalam keadaan penat, datang pula extra work untuk saya. Ketika itulah 'gunung berapi' biasanya akan meletus.

Dan seperti biasa, saya akan rasa bersalah lepas kemarahan dah mulai reda. Kasihan pada anak-anak yang dimarahi... juga kasihan pada baby dalam kandungan... mudah-mudahan lepas ini saya akan lebih bersabar insyaAllah...

2016 - Pertambahan Rutin Harian

Tahun ini, tugas saya di rumah makin bertambah bilamana kami membuat keputusan untuk menyediakan bekal anak-anak ke sekolah. Tahun-tahun sebelum ini, kami hanya membekalkan mereka duit poket untuk belanja di sekolah. Tapi tahun ini, kami ingin memastikan mereka cukup makan (memandangkan makanan di kantin selalunya habis) dan kami juga ingin memastikan makanan yang mereka makan berkhasiat serta terjamin kebersihannya.

Rutin harian saya bermula samaada sebelum atau setelah selesai solat subuh. Saya akan sediakan sarapan pagi sekali dengan bekal anak-anak yang bersekolah pagi. Minggu pertama saya sediakan nasi atau bihun goreng. Tapi mereka request untuk bawa bekal 'ringan' seperti nugget, roti sausage, puff etc. Kadang-kadang saya akan bekalkan mereka muffin jika sempat.

Dalam masa yang sama, saya akan basuh baju (kadang-kadang saya basuh baju di waktu malam). Kemudian saya akan selesaikan apa-apa urusan berkaitan bisnes sementara menanti waktu untuk sediakan makan tengahari serta bekal untuk anak-anak yang bersekolah sessi petang. Rutin ini agak mencabar kerana saya perlu reply mesej/ whatsapp/ email sambil melayan dua anak kecil yang sangat-sangat aktif dan manja.

Kebiasaannya sambil saya pegang phone (reply mesej), sambil jadi 'playground'... dan kekadang saya jadi medan berperang mereka berdua... perut saya yang tengah sarat sekarang ni selalunya menjadi tempat 'landing' atau 'punchbag' mereka berdua. Sama seperti sebelum-sebelum ini, ketika saya sarat mengandungkan mereka berdua, abang-abang mereka yang terdahulu jadikan saya sebagai 'playground'.

Rutin harian saya disambung dengan menyediakan makan tengahari, angkat pakaian yang sudah kering dari ampaian, sidai pakaian yang baru dibasuh, uruskan anak-anak kecil bila perlu (mandikan atau basuh berak/ kencing), sediakan minum petang (jika kurang penat), sediakan makan malam, kemas rumah (beberapa kali sehari), lipat pakaian, uruskan bisnes (sambil-sambil selesaikan rutin harian) etc.

Hargai Ibu Kita

Apa yang saya lalui saban hari sebenarnya sama sahaja seperti ibu-ibu lain. Sama-sama banyak kerja, sama-sama penat, juga sama-sama stress. Tapi apa yang saya lalui sekarang tak setanding dengan apa yang mama saya lalui dulu. Zaman ibu-ibu kita dulu tidak ada lampin pakai buang. Yang ada hanyalah kain lampin. Saya tak boleh nak bayangkan berapa helai lampin yang perlu dibasuh dalam sehari!

Lebih memenatkan lagi bilamana lampin-lampin tersebut perlu diberus terlebih dahulu  untuk menghilangkan kesan najis sebelum boleh dimasukkan ke dalam mesin basuh. Tak terbayang betapa penatnya ibu-ibu kita membesarkan kita dulu. Hargailah ibu kita selagimana mereka masih hidup. Tak terbalas segala jasa mereka melahirkan serta membesarkan kita.

Bila mengenangkan mama saya, saya akan pujuk diri supaya lebih bersabar dalam menguruskan anak-anak. Mudah-mudahan saya juga mampu membesarkan semua anak-anak kami dengan penuh sabar insyaAllah...


Najdah MH Hansen
3 Feb, 2016 @ 2303 hrs

No comments:

We'veBeenTogetherFor...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers